Pada alaf globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial sentiasa menghiasi lembaran akhbar. Gejala sosial yang semakin meruncing telah menggusarkan masyarakat. Fenomena ini diibaratkan duri dalam daging dalam sosial kita. Kenapa pembangunan mentaliti rakyat kita tidak selaras dengan pembangunan fizikal kita sehingga penyakit sosial sentiasa menjadi-jadi bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Tampaknya, masalah gangsterisme, vandelisme, samseng jalanan, pembuangan bayi, remaja lari dari rumah sering berkait rapat dengan golongan remaja. Persoalannya, apakah peranan remaja dalam mengurangkan masalah sosial ini dari terus meruncing?
Peranan yang perlu dimainkan oleh generasi muda dalam mengurangkan masalah ini ialah remaja perlu bijak memilih rakan. Kajian mendapati bahawa masalah sosial banyak dipengaruhi oleh pengaruh rakan sebaya. Pilihlah rakan yang mempunyai peribadi yang baik, berjati diri yang kukuh dan berdisiplin dalam semua perkara. Hal ini untuk memastikan kita dapat menjadikan mereka sebagai idola dan suri teladan. Kata orang, kalau memilih untuk berkawan dengan tukang besi, kita akan terkena asapnya manakala jika kita memilih untuk berkawan dengan tukang minyak wangi, kita akan terkena wanginya. Jadi, tepuk dada, tanya selera.
Selain itu, remaja perlu menasihati rakan, sama ada yang baru mahu terlibat atau yang telah terlibat dalam kancah sosial. Dalam hal ini, kita mestilah berhati-hati umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak bagi mengelakkan ada rakan yang terguris hati. Kita perlu menceritakan keburukan dan akibat jika terlibat dalam masalah sosial seperti menggelapkan masa depan, terdedah dengan risiko tindakan tatatertib dan dihina oleh masyarakat. Jika bimbang, bolehlah mengusulkan rakan untuk berjumpa dengan kaunselor bagi mendapatkan nasihat dan pedoman.
Di samping itu, mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah juga dapat mengurangkan remaja dalam terlibat dalam kancah tersebut. Remaja yang terlibat dalam masalah sosial ini sebenarnya tidak merancang masa depan dengan baik. Dinasihatkan, mereka mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan, kenduri-kendara, menyertai kem motivasi dan jati diri dan menyertai aktiviti kokurikulum. Selain dapat mengelakkan diri daripada salah haluan, mereka juga dapat bertukar-tukar pendapat serta pandangan dengan rakan yang lain.
Bukan itu sahaja, remaja perlu senantiasa berfikiran positif dan rasional dalam semua perkara. Kajian mendapati gejala seperti ponteng sekolah berlaku apabila remaja terlalu mengikut hawa nafsu dan keseronokan, iaitu ingin mendapat kebebasan dan benci akan pelajaran. Untuk itu, remaja perlu merenung kembali tujuan dihantar untuk belajar, iaitu bagi mencerahkan masa depan dan melahirkan modal insan kelas pertama bagi menghadapi gelombang globalisasi dan cabaran alam pekerjaan. Oleh itu, buangkan semua keseronokan sementara dan terimalah balasannya pada dewasa kelak.
Bahkan, remaja perlu menetapkan matlamat hidup yang jelas. Sebenarnya, remaja yang bermasalah tidak pernah tahu tujuan mereka hidup. Oleh sebab itu, mereka sewenang-wenangya menghabiskan masa dengan melepak dan sebagainya. Seandainya, mereka ada tujuan yang tetap, sudah pasti kehidupan mereka tidak disia-siakan kerana mereka tahu masa itu emas. Dengan cara itu juga, mereka akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang diidam-idamkan
Kesimpulannya, masalah sosial perlu ditangani segera. Kerjasama semua pihak amat mustahak bagi memastikan masalah ini dapat diperangi hingga ke akar umbi. Dalam hal ini, masyarakat perlu mengambil sikap menjaga tepi kain orang dan usah mengamalkan resmi bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Perkara yang lebih penting, pendidikan agama yang cukup boleh menjadi benteng yang ampuh dalam memastikan anak-anak dapat mengelakkan daripada terjebak dalam kancah yang tiada penghujunya ini.
Friday, January 6, 2012
PERANAN REMAJA MEMBANTU MENGURANGKAN MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Posted by zul at 6:32 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comments:
Post a Comment